DALAM masa tidak sampai setengah tahun, bekas anggota kumpulan Elite, Abby Abadi diuji kehilangan kedua-dua ibu bapanya.

Selepas kehilangan bonda, Allahyarham Hasnah Abu pada Oktober lalu, Abby diuji dengan pemergian bapanya, Allahyarham Abdul Manan Tadin, 87, pada Selasa.

Abby memaklumkan jenazah arwah bapa dimandikan di Masjid Asobirin AU5C dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat, selepas solat Zohor semalam.

Berita sedih pemergian arwah bapa dikongsi Abby menerusi hantaran dimuat naik dalam Instagram (IG).

Kata Abby banyak jasa bapanya kepada dia dan keluarga sehingga dia merasa cukup atas kasih sayang yang diberikan.

"Saya bersaksi bahawa ayah ini menjaga saya dengan baik dan menjalankan tanggungjawab sebaiknya kepada anak-anaknya.

"Banyak sifat baik ayah, tapi yang paling dekat, ayah suka bersedekah. Walaupun tak banyak mana, tapi ayah suka berbelanja untuk memberi kepada orang lain.

"Memang ada yang kurang sebab ayah anak ramai. Tapi untuk bahagian saya, saya merasa cukup.

"Terima kasih ayah, sungguh adik rindu," tulis Abby.

Bagaimanapun, Abby tidak berkongsi secara terperinci mengenai maklumat kematian arwah bapa, tetapi sebelum ini, ibu kepada enam cahaya mata itu pernah berkongsi keadaan bapanya yang sudah uzur.

Terdahulu, Abby kehilangan arwah ibu selepas pengsan ketika menjalani rawatan dialisis di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada Oktober lalu. -- Gempak