KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Isnin, menetapkan prosiding kes lafaz cerai pengarah, Syamsul Yusof terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah pada 18 April ini.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, memaklumkan Syamsul dan anak guamnya, telah mencapai persetujuan untuk membubarkan perkahwinan mereka secara baik serta aman.

Bagaimanapun beliau berkata, terma-terma penyelesaian hanya akan dimaklumkan pada tarikh tersebut, antaranya menyentuh isu hadanah, nusyuz, mutaah, nafkah, idah dan harta sepencarian.

Ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Syarie, Akmalludin Ilyas berhubung status Jawatankuasa Pendamai (JKP), Akberdin berkata, pasangan itu telah berjumpa dan berbincang tentang permohonan isu-isu lain termasuk permohonan cerai.

“Satu draf perjanjian telah disediakan namun kami perlu buat penelitian kerana baharu sahaja menerima dokumen tersebut pagi ini.

"Oleh itu, kami mohon prosiding bagi status JKP ini ditangguhkan manakala kedua-dua pihak akan merekodkan penyelesaian dan terus membubarkan pernikahan antara defendan (Mohd Shamsul) dan plaintif (Puteri Sarah) pada tarikh akan datang," katanya.

Sementara itu, peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul atau nama penuhnya, Mohd Shamsul Md Yusof mengesahkan perkara itu.

Beliau turut memohon maaf kepada mahkamah kerana menyerahkan draf berkenaan pagi ini, memandangkan perbincangan dibuat pada malam Ahad.

“Terma dan prinsip perjanjian telah disediakan kepada plaintif malah ia akan difailkan minggu hadapan iaitu sebelum sambutan Aidilfitri.

“Kami cadangkan tarikh sebutan yang lebih singkat, iaitu pada minggu depan untuk merekodkan persetujuan (penceraian)," katanya.

Buat masa ini, beliau berkata, persetujuan penyelesaian itu tidak boleh didedahkan dan hanya akan dimaklumkan pada prosiding seterusnya.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 6 Januari, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

Puteri Sarah yang berlakon dalam filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie, kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari, menerusi Tetuan Akberdin & Co.

Pada 7 Mac, mahkamah kemudiannya memerintahkan pasangan itu untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes permohonan perceraian mereka.

Syamsul kemudiannya memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada 21 Mac lalu.

Dia mendakwa Puteri Sarah sering menghubungi bekas kekasih yang berstatus suami orang, sehingga mengganggu rumah tangga lelaki itu.

Ia diikuti kenyataan daripada Puteri Sarah, berkemungkinan untuk mengambil tindakan sama ke atas pengarah filem ‘Mat Kilau berusia 39 tahun itu.

Akberdin berkata, Puteri Sarah berkata, pihak isteri boleh mengambil langkah itu terhadap suami. - Sinar Harian