SEBANYAK 50 peratus jualan tiket bagi zon silver habis terjual dalam hanya tempoh 30 minit! Itu penangan dua penghibur berprolifik tinggi Anuar Zain dan Ziana Zain yang bakal mengadakan konsert pada Ogos ini.

Konsert berskala besar diberi judul Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 dianjurkan Trumpet International Sdn. Bhd itu dengan bangganya mempersembahkan secara duo Anuar Zain dan Ziana Zain di Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2022 bertempat di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Biarpun bukan pertama kali berkolaborasi dalam konsert skala besar bersama kakaknya, namun Anuar menyifatkan peluang dan kepercayaan yang diberikan penganjur sebagai satu penghormatan buat mereka berdua.

“Bersyukur di atas kepercayaan yang diberikan kepada kami. Kami mengambil peluang ini untuk bertemu dan menghiburkan peminat yang sekian lama menginginkan persembahan kami berdua.

“Konsert ini bakal menjadi momen kolaborasi indah buat saya dan kakak saya yang telah sekian lama berada di dalam industri ini,” ujar Anuar Zain.

BACA: 'Selalu rancang, akhirnya jadi kenyataan' - Konsert bersama Anuar dan Ziana Zain Ogos depan

Bakal memberi persembahan yang akan menjadi ‘mimpi indah’ buat penonton, pelantun Lelaki Ini juga dijangka menampilkan sebuah kolaborasi epik bersama Ziana Zain dalam konsert tersebut.

Sementara itu bagi Ziana sendiri, konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 merupakan ‘hadiah’ kepada peminat sepanjang pembabitan mereka sebagai pelaku seni.

“Konsert ini akan menjadi ‘golden moment’ bukan sahaja buat peminat tetapi kami dua beradik.

“Kami sangat berterima kasih kepada penganjur, Trumpet International Sdn Bhd yang berani mengetengahkan Anuar dan Ziana Zain dalam konsert ini pada saat dunia hiburan tempatan kita baru ingin giat semula,” kata pelantun Madah Berhelah tersebut.

Difahamkan, persembahan tersebut bakal berlangsung selama 90 minit dan kedua-dua penghibur kesayangan ramai ini dijangka melantunkan lagu-lagu malar segar dan popular yang telah menjulang nama mereka dalam persada seni tempatan.

Selaku jurucakap penganjur, bekas pemain badminton negara, Koo Kien Keat melahirkan rasa bertuah di atas penganjuran dan kerjasama julung kali Trumpet International Sdn. Bhd bersama idola ramai Anuar dan Ziana Zain.

Koo Kien Keat menyifatkan penganjuran Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 akan menjadi pengubat rindu buat peminat muzik dan penggemar pasangan adik beradik tersebut selepas pelbagai aktiviti seni termasuk konsert bagai ‘terhenti’ kerana pandemik.

“Kami amat berbesar hati menganjurkan konsert dua beradik Anuar Zain dan Ziana Zain yang cukup bermakna ini. Tiket-tiket boleh dibeli melalui laman www.excitix.com.my pada hari ini, 19 Mei 2022, jam 3 petang.

“Ini merupakan kesempatan yang sangat hebat buat kami membawakan dua penyanyi dengan vokal emas dalam kolaborasi yang pertama kali diadakan dalam sejarah hiburan tempatan di Malaysia.

“Kami percaya Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 akan menjadi sebuah konsert yang tidak akan dilupakan,” kata Koo Kien Keat yang turut berharap akan ada lebih banyak syarikat lain memberi sokongan kepada anak seni dalam penganjuran pelbagai konsert pada masa akan datang.

Tiket Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 dijual pada harga bermula RM288, RM588, RM788, RM988 sehingga RM1188. Ia boleh dibeli secara talian (online) di www.excitix.com.my mulai semalam.

*Artikel asal di Gempak