DUNIA Hollywood sekarang sedang hangat mengikuti kisah dua figura terkenal iaitu aktor Tom Cruise dan penyanyi Shakira yang baru-baru ini dirakamkan bersama sewaktu perlumbaan Grand Prix Formula 1 di Miami.

Sejak itu, spekulasi mengenai kedua-duanya mungkin akan menjalin hubungan serius, tersebar.

Hal itu dikuatkan lagi apabila Page Six melaporkan satu sumber memberitahu Cruise, 60, sangat berminat untuk mengajak Shakira keluar.

“Cruise sangat berminat untuk mengenali (Shakira). Mereka ada chemistry,” tambah sumber tersebut lagi.

Namun lain halnya dengan Shakira. Menurut sumber seperti dilaporkan Geotv, penyanyi yang berpisah dengan pasangannya, Gerard Piqué baru-baru ini tidak berminat untuk keluar bersama Cruise.

Shakira, 46, malah menyifatkan laporan yang dikeluarkan sebagai tidak masuk akal.

“Shakira memang seronok menghabiskan masa dengan Cruise di F1 tapi dia tidak berminat untuk keluar dating (berpacaran) dengannya,” menurut satu sumber.

Sumber yang sama menambah: “Cruise memang sangat baik, tapi Shakira tidak dalam fasa untuk berkenalan dengan dia atau lelaki lain buat masa ini. Dia ada banyak perkara yang perlu diberi keutamaan.” -- Gempak