GAMBAR terbaharu pelakon Tom Cruise di satu perlawanan besbol di San Francisco baru-baru ini, yang memaparkan wajahnya lebih berisi, menimbulkan spekulasi bintang Mission Impossible itu melakukan pembedahan plastik.

"Apa yang dilakukan Tom Cruise pada wajahnya?" itu ciapan salah seorang peminat di Twitter.

Sebahagian peminat pula berpendapat hanya ada dua kemungkinan, iaitu berat badan Cruise bertambah atau dia melakukan pembedahan plastik.

Dr Alice Henshaw, pemilik Harley Street Injectables, yakin 'bengkak' di wajah Cruise adalah kerana pembedahan plastik.

"Wajahnya kelihatan  bengkak, yang mungkin disebabkan oleh filler, bengkak akibat satu prosedur atau kenaikan berat badan," katanya kepada The Sun.

"Saya percaya dia pernah melakukan filler di bawah matanya dan di sekitar mulut dan hidungnya sebelum ini, tetapi kesannya berbeza kali ini," tambahnya.

Filem terbaharu Cruise, "Top Gun: Maverick," yang sepatutnya menemui penonton November ini, ditunda tayangannya ke Mei 2022.

Penggambaran Mission: Impossible 7 pula dihentikan seketika pada Jun lalu susulan berlaku jangkitan COVID-19 di set penggambaran.