Dua nama besar dalam industri hiburan negara, Jennifer Thompson dan Jason Lo berpendapat, undang-undang ketat merupakan antara punca selebriti terkenal antarabangsa mengelak daripada mengadakan konsert di Malaysia.

Jennifer yang merupakan Pengarah Urusan J TWO Entertainment semasa dalam temu bual bersama Astro AWANI berkata, undang-undang berkaitan cara pemakaian artis itu sendiri menyebabkan mereka enggan mengunjungi Malaysia untuk mengadakan konsert.

"Dalam perkara berkaitan hiburan, kita perlu berfikiran terbuka. Jika artis itu bersetuju untuk mengikut peraturan, ia sepatutnya tidak menjadi masalah walaupun artis itu mempunyai sejarah mengambil dadah atau memakai pakaian seksi. Apa yang penting adalah kerelaan artis itu untuk mengikut peraturan negara kita.

"Sebagai contoh, semasa Mariah Carey mengadakan konsert di Malaysia, beliau mengenakan pakaian sopan, dan ini tidak menjadi masalah buat beliau walaupun seperti yang kita semua tahu, Mariah Carey memang berpakaian seksi. Tetapi, beliau ikut peraturan kerajaan," kata Jennifer.

Pandangan ini turut disokong ahli muzik terkenal serta penerbit album, Jason Lo.

"Apa yang kita cuba pertahankan sebenarnya? Kita tidak benarkan artis berpakaian seksi semasa mengadakan konsert, tetapi anak-anak muda dengan mudah boleh mengakses laman media sosial seperti YouTube. Adakah mereka tidak dapat melihat artis kegemaran mereka berpakaian seksi di YouTube?" tegas Jason semasa dalam temu bual bersama Astro AWANI.

Beliau menambah, berita-berita negatif mengenai Malaysia juga merupakan antara penyebab artis luar negara tidak mahu mengadakan konsert di sini.

Menurutnya, kerajaan tidak sepatutnya meletak kesalahan terhadap penganjur apabila sesuatu kejadian tidak diingini berlaku, sebaliknya mendidik orang ramai untuk bijak membuat pilihan antara yang baik dan buruk.

"Pihak luar melihat Malaysia sebagai sebuah negara ekstremis dengan laporan berita mengenai isu hudud, kalimah Allah dan sebagainya. Selain itu, meereka juga merasa teragak-agak untuk datang ke negara ini apabila banyak protes dilakukan semata-mata kerana mereka ingin mengadakan konsert.

"Sebagai contoh, protes besar-besaran diadakan sebelum ini apabila Elton John hendak mengadakan konsert di negara hanya kerana beliau seorang homoseksual. Kerajaan sepatutnya beri kepercayaan kepada rakyat untuk membuat keputusan," tambah Jason.

Susulan enam warga Malaysia yang maut akibat mengambil dadah berlebihan hingga mengalami sesak nafas ketika menghadiri Future Music Festival Asia, Jason menggesa kerajaan untuk mendidik anak-anak muda di negara ini.

Katanya, pendidikan dengan cara menakutkan mereka dengan penggunaan dadah adalah cara terbaik mengelakkan mereka daripada terus terjurumus dalam masalah ini.

"Iklan yang hanya menampilkan seorang penagih menghisap dadah dan kemudian berjalan terhuyung-hayang seperti orang mabuk tidak akan memberi sebarang impak kepada warga muda. Mereka tidak akan merasa takut. Kita perlu buat mereka lihat bahawa 'jika anda mengambil dadah, anda akan mati!'.

"Kita sepatutnya mengambil iktibar daripada kejadian di Future Music Festival Asia. Ingin saya tekankan di sini bahawa kejadian itu bukan salah penganjur. Yang bersalah adalah mereka yang mengambil dadah. Kita perlu mendidik anak-anak muda di negara kita sebelum lebih ramai lagi yang terlibat dalam gejala tidak sihat ini," tambahnya.

Dengan artis-artis pujaan ramai tidak meletakkan Malaysia dalam sesi jelajah konsert mereka, ini secara tidak langsung dilihat akan memberi impak kepada industri hiburan serta ekonomi negara.

Menurut Jennifer dan Jason, sekatan yang dikenakan ke atas artis-artis ini menyebabkan mereka membuat keputusan untuk mengadakan konsert di negara-negara jiran dan ini telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia mengunjungi negara luar semata-mata untuk menyaksikan konsert artis kegemaran mereka.

"Ini akan memberi kesan kepada ekonomi dan industri hiburan negara. Sebagai contoh, pada sekitar 1990an, penyanyi berkumpulan terkenal Amerika Syarikat, Chicago tidak dibenarkan mengadakan konsert di Malaysia hanya kerana beberapa orang daripada mereka berambut panjang.

"Pada waktu itu, ramai rakyat Malaysia serta penduduk negara lain pergi ke negara jiran untuk menyaksikan konsert mereka. Bayangkan berapa banyak kerugian kerajaan dalam sektor pelancongan pada waktu itu. Tetapi ini hanyalah satu konsert. Bayangkan ratusan konsert lain yang telah kita sekat atau batalkan, berapa kerugian itu?" kata Jennifer.

Habiskan duit tonton konsert di negara jiran

Mengunjungi negara jiran semata-mata untuk menyaksikan konsert artis terkemuka dunia bukanlah perkara baru dan kebanyakkan rakyat Malaysia sanggup berhabisan duit demi kepuasan hati.

Penonton Astro AWANI, Zarina Rahim turut berkongsi pengalamannya dimana beliau mengakui tidak merasa ralat untuk untuk berbelanja lebih demi menonton persembahan artis asing kegemarannya.

Menurutnya, antara sebab mengapa artis antarabangsa tidak mengunjungi Malaysia bagi mengadakan konsert adalah mungkin disebabkan kerisauan jumlah penonton yang tidak ramai.

"Mungkin antara sebab mengapa persembahan seumpama ini tidak dibuat di Malaysia kerana sesetengah artis mengenakan bayaran tinggi. Sejauh mana rakyat Malaysia sanggup berbelanja untuk hiburan?

"Artis luar negara telah membuat persembahan dengan jumlah penonton jauh lebih ramai berbanding Malaysia dimana kehadiran penonton biasanya kurang daripada 10,000 orang. Kita mungkin mengatakan bahawa kita mempunyai ramai peminat artis luar negara, tetapi jika mereka tidak sanggup membayar harga tiket, mungkin tidak berbaloi untuk artis tersebut mengunjungi Malaysia," kata Zarina.

Dalam satu tinjauan menerusi laman Twitter Astro AWANI, @501Awani, pengguna media sosial itu mengakui mereka sanggup berbelanja lebih demi menonton persembahan artis pujaan mereka, dan berikut merupakan antara reaksi mereka.











Namun ada juga pengguna Twitter yang tidak bersedia untuk keluar negara hanya untuk menyaksikan konsert kerana ia akan menelan kos perbelanjaan yang tinggi selain menyuarakan kekecewaan terhadap pembatalan beberapa konsert yang dijadualkan di negara ini.