PENDAKWAH popular Datuk Ustaz Kazim Elias mendedahkan bakal terlibat dalam sebuah filem biografi pada bulan Mac depan.

Tawaran itu kata Ustaz Kazim, 49, merupakan satu hikmah atas pelbagai ujian yang menimpanya termasuk penyakit misteri sejak tahun lalu.

"Allah bagi saya sakit macam-macam sebab Dia nak berikan hikmah lain.

"Itu yang merawat hati saya dan saya bersangka baik. Saya anggap dosa saya banyak, jadi ini satu perkara yang menghapuskan dosa.

"Ada orang tanya, ustaz sakit dalam tiga empat bulan ni apa benda yang Allah berikan pada ustaz.

"Saya dapat tawaran berlakon filem, jadi hero. Ia filem biografi tentang saya," ujarnya kepada Gempak.

Bagaimanapun, beliau belum boleh berkongsi secara terperinci mengenai filem biografi tersebut.

Ustaz Kazim ditemui pada majlis pelancaran perisa baharu Susu Kambing Faa-iz di Kompleks Islam Datul Faizin (KIDaF), Kedah baru-baru ini.

Turut dianjurkan pada program sama adalah Forum Perdana Israk Mikraj.

Melanjutkan bicara, kata Ustaz Kazim lagi, filem biografi itu akan menceritakan kehidupannya dari kecil hingga sekarang.

"Alhamdulillah, saya bersyukur pada Allah. Rasanya di Malaysia ini cerita pertama tentang kehidupan ustaz. Kehidupan sejak kecil hingga sekarang.

"Pengarahnya biarlah rahsia dulu, nanti ada majlis pelancarannya pada Mac nanti.

"Setakat ini saya sudah buat skrip dan pihak mereka juga sudah menghantar sinopsisnya pada saya.

"Tinggal untuk mulakan penggambaran saja," tambah beliau.


*Artikel asal di Gempak


Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, permotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !