KUCHING: Kumpulan rock terkemuka negara, Wings, berharap penampilan pertama mereka di pentas antarabangsa bulan depan akan menjadi pembuka pintu untuk terus kukuh dalam industri.
  
Vokalis utamanya, Awie berkata, mereka sangat teruja kerana ia langkah pertama mereka ke arena global selepas 37 tahun aktif di pentas.
  
"Kami berlatih siang malam tanpa jemu untuk tujuan ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan konsert Wings: One Night Only Live In Kuching di Hotel Riverside Majestic di sini.
   

Dalam konsert tersebut, kumpulan yang dianggotai lima pemuzik ini menyampaikan 16 lagu, bermula dengan Pentas Opera.
  
Ia diikuti dengan beberapa lagu hit kumpulan itu seperti Taman Rashidah Utama, Bujang Senang, Sejati dan Gemuruh.
  
Pelantun yang nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman itu berkata, persembahan pada 30 Sept kelak akan berlangsung di Singapura, sempena kejohanan Perlumbaan F1 di negara tersebut.
   
Artis lain yang turut membuat persembahan termasuk Green Day, Weslife, Marshmello dan Black Eyed Peas.
   
Ditanya tentang penglibatannya dalam lakonan, Awie berkata, beliau ada merancang untuk kumpulan Wings berlakon bersama dalam drama bersiri.
  
"Tetapi permintaan untuk kami ketika ini masih 'mengganas'.
  
"Mungkin pada tahun depan, setelah keadaan reda dan kami dapat berehat, kita akan merealisasikan perancangan ini," tambahnya lagi.

Awie bercakap pada sidang media selepas konsert Wings: One Night Only Live In Kuching di Hotel Riverside Majestic, Kuching, 27 Ogos 2022. Foto Astro AWANI