Kira-kira 1,000 pekerja dan peniaga Pasar Borong di Batu Berendam, Melaka diarah menjalani saringan COVID-19 selepas seorang pekerja di pasar berkenaan disahkan positif.



Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri, Rahmad Mariman berkata, lelaki berusia 30an yang merupakan pekerja di salah sebuah gerai ayam di pasar itu disahkan positif selepas menjalani ujian sasar yang dibuat secara rawak oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, terhadap 326 peniaga pada 11 Mei lalu.



Beliau berkata, bagaimanapun operasi pasar yang membabitkan kira-kira 200 gerai pelbagai barangan keperluan itu masih berjalan seperti biasa pada esok dan arahan penutupan sementara hanya dikeluarkan terhadap gerai ayam berkenaan.



Katanya, siasatan awal mendapati pesakit berkenaan tiada kaitan dengan mana-mana kluster pasar borong seperti di Selayang dan Kuala Lumpur, memandangkan peniaga-peniaga di pasar itu tidak mengambil bekalan di kawasan terlibat.



Bagaimanapun, pihaknya sedang mengenal pasti punca jangkitan sama ada dari kontak rapat pesakit mahupun kes sporadik.



“Untuk makluman pada hari ini, jam 3 petang hingga 10 malam, pihak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya mensyaratkan semua peniaga buat saringan dan sekarang sedang buat saringan di Klinik Kesihatan Batu Berendam kita mensasarkan 1,000 orang (untuk disaring),” katanya dalam sidang media di pejabat MPHTJ ada Jumaat.



Dalam pada itu, pihaknya turut menafikan dakwaan mengeluarkan arahan kepada mereka yang ada berkunjung ke pasar itu dalam tempoh seminggu ini untuk turut menjalani saringan.

 Sebaliknya ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek itu, arahan itu hanya dikeluarkan kepada peniaga dan pekerja pasar sahaja dan kerja-kerja nyah cemar juga sudah dilakukan hari ini.



Sehingga semalam, 14 mukim di Melaka merekodkan masih terdapat kes aktif dengan satu kes baharu.