IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memberi pengecualian satu bulan bayaran sewa kepada para peniaga kecil yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Kinta.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata pengecualian sewa bagi bulan Jun itu diberikan kepada peniaga di Pasar Besar Ipoh dan Medan Selera di bawah urus selia MBI.

Ujar Rumaizi ia melibatkan lebih 1,000 peniaga dengan anggaran peruntukan RM50,000.

"Pihak Majlis mengambil maklum akan ekonomi peniaga-peniaga kecil yang terkesan berikutan kekangan pergerakan warga kota dalam merancakkan aktiviti perniagaan semasa PKPD.

"Pengecualian satu bulan bayaran sewa itu melibatkan para peniaga di Pasar Besar Ipoh dan peniaga di Medan-Medan Selera di bawah urus selia Majlis bagi bulan Jun 2021," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Mei 2021 di Dewan Mesyuarat Bandaraya Ipoh, di sini pada Isnin.

Tambahnya, MBI turut meneruskan program-program di bawah agenda MBI Prihatin seperti yang dirancang sebelum ini.

Sementara itu, beliau menjelaskan MBI akan melaksanakan perkhidmatan kutipan sampah kebun dan pukal secara percuma kepada warga Ipoh.

Ujarnya, sebanyak 14 unit lori dikhususkan bagi tujuan itu dalam memastikan bandar raya Ipoh kekal bersih dan mengurangkan masalah sampah haram.

"Operasi perkhidmatan kutipan sampah kebun dan pukal bermula pada 15 Jun ini secara berperingkat mengikut jadual yang ditetapkan.

"Ia dilaksanakan sebulan sekali di semua taman perumahan, saya yakin langkah ini akan membantu MBI merealisasikan hasrat jadikan Ipoh bandar terbersih di Malaysia pada tahun 2023," katanya.