YAN: Terpaksa menanggung kerugian hampir separuh daripada pendapatan pada musim tuaian padi sebelum ini.

Itu derita yang terpaksa diharungi lebih 1,000 pesawah di Kampung Dulang Kecil, Kampung Kuala Dulang Kecil dan Kampung Ban 7A di sini, berikutan pokok padi yang ditanam diserang bena perang atau lebih dikenali sebagai 'bom' dalam kalangan penduduk sekitar, setiap kali tiba musim kemarau.

Menurut mereka, bena perang akan menyerang pangkal rumpun padi berhampiran permukaan air dan terus menghisap cairan dalam pokok.

Keadaan itu akan menyebabkan pokok padi kering atau kelihatan seakan terbakar sekali gus mengakibatkan pengurangan hasil padi sekiranya tidak dikawal dari awal.

Bagi petani, Senawi Pengeran, 50, hasil padi yang diperolehnya pada musim kali ini hanyalah sekitar 1,000 kilogram berbanding 2,300 kilogram pada musim sebelum ini.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan dia menghadapi masalah untuk mendapatkan modal yang mencukupi bagi mengusahakan tanaman padi pada musim berikutnya iaitu pada penghujung Mac depan.

Bena perang yang disifatkan sebagai cabaran terbesar yang perlu dilalui sepanjang musim kemarau menyebabkan pendapatan golongan petani terjejas teruk, kata Senawi

“Bila kena serang bena perang hasil (pendapatan) jatuh melebihi 50 peratus daripada pendapatan yang selalu (petani) dapat,” luah Senawi lagi.

Sementara itu, Astro AWANI turut difahamkan golongan petani juga terpaksa berhadapan masalah ulat gulung serta kekeringan akibat keadaan panas atau kemarau yang luar biasa.

Menurut mereka, laporan telah dibuat kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Pertubuhan Peladang Kawasan bagi memaklumkan perkara berkenaan.

Pihak terlibat juga difahamkan telah turun padang dalam melakukan pemantauan dan memberi taklimat mengenai langkah pencegahan serta syor mengenai racun yang boleh digunapakai.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Dulang Kecil, Ismail Md Zain, serangan bena perang ke atas tanaman padi sangat dibimbangi golongan petani kerana kerja keras mereka tidak berbaloi dengan pendapatan yang diterima.

Tidak cukup dengan bena perang, kata Ismail, cabaran tambah berganda buat petani apabila ulat gulung turut memberi ancaman.

Berikutan itu, kumpulan petani berharap agar ada jalan penyelesaian terbaik dapat dicapai supaya masalah ini tidak akan menghantui mereka setiap tahun.

Dalam masa sama, mereka juga mahukan pihak MADA dan PPK agar memberi dan mengesyorkan racun terbaik untuk menghapuskan bena perang dengan mudah.