Seramai 1,007 mangsa banjir dari 11 daerah di kawasan pantai barat Sabah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini.

Antara daerah yang terjejas termasuk Kota Belud, Papar, Penampang, Beaufot, Tenom, Kota Marudu, Keningau, Pitas, Membakut, Putatan dan Tuaran.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, Datuk Safar Untong, sebanyak 13 buah PPS telah dibuka di lima daerah setakat ini untuk menempatkan kesemua mangsa banjir.

Lima daerah itu ialah Kota Belud dengan empat PPS, Papar (1 PPS), Penampang (1 PPS), Beaufort (1 PPS) dan Tenom (5 PPS).

"Setakat jam 8 pagi tadi, kita merekodkan 1,007 mangsa banjir melibatkan 11 buah daerah di negeri ini.

"Jumlah itu membabitkan sebanyak 307 keluarga yang kini ditempatkan di 13 buah PPS terdiri daripada lima buah daerah," katanya.

Statistik terkini yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

Untuk rekod, banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan pantai barat Sabah semalam itu berpunca daripada hujan lebat sejak Sabtu lalu.