1,454 kompaun dikeluarkan di Sabah, polis tidak akan lagi berkompromi

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Oktober 15, 2020 12:25 MYT
Polis Sabah memberi amaran, pihaknya tidak akan lagi berkompromi berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Sebanyak 1454 kompaun telah dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat Bersasar (PKPDB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di negeri itu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali memberi amaran, pihaknya tidak akan lagi berkompromi selepas ini berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri tersebut.
"PDRM Kontinjen Sabah ingin menegaskan tidak akan berkompromi lagi dan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mana-mana individu yang melanggar dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
"Kebanyakan kesalahan adalah seperti tidak mengenakan pelitup muka dan berkumpul beramai-ramai.
"Oleh itu, PDRM ingin menasihatkan orang ramai agar tidak keluar rumah jika tidak mempunyai tujuan penting agar kita dapat membendung penularan wabak ini," katanya dalam sidang media yang diadakan di Kota Kinabalu pada Khamis.
Jelasnya lagi PDRM akan menggerakkan sebanyak 248 kumpulan bagi memantau keseluruhan pematuhan SOP di Sabah.
Katanya kumpulan terbabit melibatkan kerjasama dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain agensi berkaitan di negeri itu dengan kekuatan seramai 1,800 petugas.
Tambah Hazani, setakat ini tempoh PKPB yang dikuatkuasakan kekal pada tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu bermula 13 Oktober hingga 26 Oktober.
#kompaun #Sabah #Polis Sabah #PDRM #Hazani Ghazali #SOP #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #COVID-19 #kes positif #prosedur operasi standard