Sebanyak 1,470 graduan politeknik dalam industri halal dijangka dilahirkan menjelang 2020 hasil daripada pembaharuan memorandum persefahaman (MoU) di antara Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP).

HDC dan JPP dalam kenyataan bersama pada Isnin menyebut pembaharuan MoU itu melibatkan Politeknik Merlimau Melaka, Politeknik METrO Kuantan, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan Politeknik Sultan Idris Shah bagi program Diploma Perkhidmatan Makanan (Amalan Halal).

"Kedua-dua pihak bersetuju mengambil langkah strategik bagi meningkatkan kerjasama dari segi penglibatan staf akademik, pakar dan pelajar dalam mana-mana aktiviti yang memberi impak positif kepada kedua-dua pihak," menurut kenyataan itu.

Setakat ini, sebanyak 119 graduan dari Politeknik Merlimau Melaka dan Politeknik METrO Kuantan berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh Sijil Profesional hasil daripada MoU antara HDC dan JPP yang termeterai pada 2011.

Pada 2015, kadar kebolehpekerjaan graduan yang bekerja dalam jurusan ini adalah sebanyak 61.8 peratus.

Impak positif daripada kolaborasi tersebut antara lain membolehkan graduan dengan 'dua pensijilan', iaitu Diploma Perkhidmatan Makanan (Amalan Halal) daripada politeknik dan Sijil Profesional Halal Executive Programme (HEP) daripada HDC.

Kolaborasi itu juga diharap dapat membantu mencapai sasaran 85 peratus graduan politeknik bekerja menjelang tahun 2020, menurut kenyataan itu.