ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan negeri Kedah merekodkan seramai 1,494 pelajar sekolah di seluruh negeri ini dijangkiti COVID-19 antara 1 Januari hingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo berkata, daripada jumlah itu seramai 1,493 kes atau 99.9 peratus pelajar berada pada kategori satu dan dua, manakala 0.1 peratus atau satu kes pada kategori tiga.

Manakala sebanyak 915 kes atau 61.2 peratus masih lagi dirawat, manakala 579 kes atau 38.8 peratus termasuk seorang pelajar yang berada pada kategori tiga sudah sembuh.

“Semua pelajar berusia antara tujuh hingga 18 tahun itu dilaporkan stabil selepas menjalani rawatan.

“Setakat ini tiada pelajar yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan.

“Antara pelajar ini ada yang dirawat di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan menjalani kuarantin di rumah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Dr Othman, memaklumkan seramai 90 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulim disahkan positif COVID-19 membabitkan Kluster Dah Sungai Balak pada Sabtu lalu.

Jelasnya, terdapat satu lagi kluster pendidikan iaitu Kluster Dah Mutiara Naga membabitkan sebuah tadika swasta di Kubang Pasu turut dikesan pada Sabtu lalu.

Katanya, seramai 41 kes dilaporkan positif COVID-19 membabitkan kluster berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan 11 kluster berkaitan pendidikan di negeri ini.

Setakat semalam, terdapat 10 kluster berkaitan pendidikan dilaporkan berlaku di seluruh negeri Kedah membabitkan pelajar dan guru.