KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 1,529 kes baharu COVID-19 direkodkan di negara ini pada Isnin, sekali gus merupakan bilangan kes terendah pada 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam laman Twitternya berkata, Selangor menjadi negeri penyumbang kes baharu tertinggi dengan 726 kes.

Statistik yang direkodkan sehingga jam 12 tengah hari itu juga menyaksikan Malaysia mencatat kes baharu di bawah angka 2,000 untuk hari ketiga berturut-turut.

Berikut adalah senarai kes baharu COVID-19 mengikut negeri:


Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan media memaklumkan terdapat lapan kes kematian baharu dilaporkan hari ini, sekali gus menjadikan kes kematian kumulatif adalah 1,177 kes.

Mengulas berkenaan jumlah kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata terdapat 2,076 kes sembuh hari ini, menjadikan keseluruhan kes sembuh adalah 294,034 kes.

Kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) adalah 160 dengan 79 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.