Seramai 1,946 graduan lepasan bidang perubatan, pergigian dan farmasi lulus tapisan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) belum ditempatkan dalam kerajaan, menurut Kementerian Kesihatan.

Daripada jumlah itu, seramai 1,335 terdiri daripada graduan perubatan lulus tapisan SPA selepas 7 Dis 2019 yang belum dilantik bagi menjalani latihan siswazah atau khidmat wajib; 415 graduan pergigian lulus tapisan SPA selepas 1 Jan 2020 dan 196 graduan farmasi lulus tapisan SPA selepas 8 Feb 2020.

"Antara faktor yang menyebabkan tawaran pelantikan belum dikemukakan kepada graduan yang lulus tapisan SPA, khususnya graduan perubatan adalah slot latihan siswazah sebanyak 12,153 masih diisi dan menunggu untuk dikosongkan dari semasa ke semasa.

"Ini mengambil kira jumlah keluaran graduan perubatan yang pada masa ini telah mencecah 5,000 hingga 6,000 orang pada setiap tahun berbanding slot yang boleh ditawarkan dan terdapat ramai Pegawai Perubatan Siswazah yang tidak dapat menamatkan latihan dalam tempoh dua tahun," menurut kementerian itu.

Kementerian Kesihatan memaklumkan perkara itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) mengenai jumlah graduan bidang perubatan, pergigian dan farmasi yang masih belum ditempatkan dalam kerajaan serta faktor lambakan graduan.

Antara langkah yang diambil bagi menyelesaikan masalah ini ialah peningkatan slot latihan siswazah daripada 10,835 pada tahun 2013 kepada 12,153 pada masa ini dan menambah bilangan disiplin alternatif mengikut pilihan pegawai iaitu daripada lima disiplin kepada sembilan disiplin termasuk penempatan di klinik kesihatan.

Selain itu, bagi memendekkan tempoh menunggu penempatan latihan siswazah dan khidmat wajib, bilangan Hospital Latihan Siswazah telah ditambah daripada 38 buah pada 2009 kepada 48 buah pada tahun lepas.

"Berdasarkan perancangan, sebanyak enam hospital lagi dalam proses penelitian untuk pelaksanaan Program Latihan Siswazah dalam tempoh dua tahun akan datang," jelas kementerian itu.

Sementara itu, kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi telah melanjutkan Moratorium Penawaran Kursus Baharu Bidang Perubatan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara selama lima tahun lagi iaitu sehingga 2021.

Moratorium itu meliputi tiga aspek termasuk tiada pertambahan universiti kolej perubatan baharu, tiada pertambahan Program Pengajian Perubatan baharu dan tiada pertambahan kuota pelajar Pengajian Perubatan.

-- BERNAMA