KLUANG: Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas selepas terlanggar seekor gajah dalam kejadian di Jalan Pinang menghala Bukit Tongkat, di sini, jam 9.59 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Mohd Fauzi Mohd Nor berkata mangsa dikenali sebagai Ismail Daud, 37, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kata Mohd Fauzi lagi, tiga penumpang yang menaiki kenderaan jenis Honda City bersama mangsa cedera.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Honda City yang dinaiki empat mangsa telah terbabas melanggar seekor gajah.

"Terdapat tiga mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan telah diserahkan kepada pihak ambulan KKM sebelum PKO tiba di lokasi kejadian.

"PKO bertindak mengeluarkan seorang mangsa di bahagian tempat duduk pemandu dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Fauzi, mangsa yang cedera ialah dua lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

Difahamkan mangsa pulang ke kampung dan dalam perjalanan bersama bapa mertua (65 tahun), biras (30 tahun) serta anak mangsa (5 tahun) untuk ke kedai makan.

"Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang untuk rawatan lanjut manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," kata Mohd Fauzi lagi.