Lebih 10,000 penduduk tempatan dan luar hadir memeriahkan Konsert Kamek Sayang Sarawak yang dianjurkan sempena ambang Hari Sarawak di Jalan Lapangan Terbang Lama, di sini, malam ini.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pengelola Majlis Seni Sarawak, Norhayati Bidin, pihaknya menjangkakan kehadiran orang ramai di Bintulu dan sekitar bandar tersebut akan meningkat pada hari kemuncak sambutan Hari Sarawak, pada Isnin.

Katanya, ini bukan hanya hiburan semata-mata, persembahan yang bakal dipertontonkan kepada khalayak ramai turut menerapkan nilai budaya dan sejarah Bumi Kenyalang.

“Jadi esok (22 Julai), banyak simbolik akan kita tampilkan (dalam persembahan) antaranya Drama Tari Sayang Sarawak di mana ia menyusuri sejarah dari Era Kesultanan Brunei, zaman pentadbiran (James) Brooke, Jepun, serta Gagasan Malaysia.

“Kita akan paparkan tentang konflik pungutan suara, ancaman Komunis, dan sehinggalah tarikh 22 Julai di mana kerajaan Sarawak memilih untuk berkerajaan sendiri dan kemudian membentuk Malaysia,” katanya kepada Astro AWANI, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Hayati berkata, pemilihan Bintulu sebagai tuan rumah sambutan Hari Sarawak memberi signifikan yang cukup besar besar kepada penduduk tempatan.

Jelasnya, sebagai penganjur, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan orang ramai yang datang mendapat manfaat, dan seterusnya bersemangat untuk meraikan detik bersejarah negeri itu, esok.

Konsert Kamek Sayang Sarawak diserikan oleh persembahan artis-artis terkenal tanah air dan tempatan antaranya Hafiz Suip, Baby Shima, Melissa Francis dan ramai lagi.

Sementara esok, dijangka turut hadir meraikan sambutan Hari Sarawak adalah Yang Dipertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Openg.