SEBUYAU: 10 buah kedai musnah sama sekali dalam satu kejadian kebakaran melibatkan dua blok kedai di sini, petang Sabtu.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Handery Ardimanshah memberitahu, kejadian dipercayai bermula sekitar jam 2 petang.

"Sejurus menerima panggilan kecemasan, pihak kita telah mengatur gerak dua jentera dengan kekuatan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan dan Asajaya.

"Setibanya mereka di lokasi, pasukan mendapati kesemua blok kedai jenis struktur tidak kekal telah musnah sepenuhnya.

Blok pertama kata Hendery, mempunyai enam pintu kedai manakala blok kedua, empat pintu.

"Pasukan kemudian melaksanakan kerja-kerja overhaul sambil melaksanakan aktiviti forensik bomba, bagi mengesan punca kebakaran," katanya kepada Astro AWANI.

Sementara itu, pada petang yang sama, bantuan kebajikan segera diaktifkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi pejabatnya di Samarahan.

Pengarahnya, Noriah Ahmad memberitahu, bantuan awal berupa makanan kering, kit kebersihan dan kelengkapan tidur telah diberikan kepada mangsa-mangsa terlibat oleh pegawai kebajikan Bahagian Samarahan.

"Bantuan pemulihan perniagaan akan menyusul setelah dokumen mangsa telah lengkap diterima," tambahnya lagi.
 
Tiada pusat pemindahan dibuka kerana semua mangsa telah berpindah ke rumah saudara-mara.