10 mat rempit ditahan, wang tunai RM38,000 dirampas dalam operasi basmi lumba haram

Nickyson Nyambar
Januari 15, 2020 09:41 MYT
Menurut Azisman, pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan lumba haram pada 13 Januari lalu yang diadakan di Kilometer 25.6 di arah selatan ke Kilometer 24.6 Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS). - Gambar fail
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu kegiatan lumba haram pada 13 Januari lalu.
Operasi yang bermula pukul 9 malam dan berakhir sekitar pukul 2.30 pagi itu diadakan di Kilometer 25.6 di arah selatan ke Kilometer 24.6 Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS).
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, DCP Datuk Azisman Alias, operasi yang diadakan atas maklumat orang awam dan hasil intipan pihak polis membawa kepada penahanan 10 suspek berumur lingkungan 17 hingga 36 tahun.
Polis juga, kata Azisman turut menemukan wang bernilai RM38,000 dari salah sebuah kereta yang disita yang sebahagiannya dipercayai dijadikan sebagai wang taruhan lumba haram itu.
Selain itu, beliau berkata, sebuah kenderaan pacuan empat roda, dua buah kereta serta dua buah motosikal turut disita.
Masalah sosial termasuk aktviti merempit yang semakin menular dalam kalangan remaja, katanya, sentiasa mendapat perhatian pihak polis.
Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan penubuhan Unit Risikan Operasi JSPT (RO) Bukit Aman bagi membendung gejala negatif itu.
"Ini (penubuhan RO) merupakan strategi dan perancang JSPT bagi menangani masalah samseng jalanan termasuklah merempit ataupun lumba haram ataupun konvoi-konvoi saban minggu yang menganggu ketenteraman orang ramai," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Rabu.
RO JSPT juga, jelas beliau, merupakan inisiatif Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang komited untuk menangani masalah samseng jalanan.
Sementara itu, kesemua suspek yang ditahan, kata Azisman, akan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Sekiranya disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 81 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#Bukit Aman #JSPT #operasi khas #PDRM #Polis Diraja Malaysia #samseng jalanan