SHAH ALAM: Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) menerusi program Cuci, Pulih dan Iqra 2.0 menyumbang sebanyak 100 naskah al-Quran kepada ahli kariah Surau Hamideen Seksyen 19, di sini yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Turut disumbangkan 100 helai sejadah oleh Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin).

Menerusi program tersebut, WUI turut menyumbang dua set al-Quran dengan setiap satunya memiliki tujuh jenis naskah al-Quran bertujuan mewujudkan ruangan Quran Corner di surau terbabit.

Sumbangan tersebut disampaikan kepada Pengerusi Surau Hamideen, Ibrahim Talib dalam satu majlis yang diadakan di surau tersebut pada Khamis dan turut dihadiri Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Ibrahim berkata, kira-kira 500 ahli kariah surau tersebut termasuk ahli keluarga yang tinggal di kawasan sekitar terjejas dalam kejadian banjir pada 18 Disember lalu.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan dihargai pihaknya memandangkan ada ahli kariah yang berhadapan dengan kerosakan harta benda termasuk al-Quran.

“Dalam keadaan panik itu, kadang-kadang ada dalam kalangan mereka yang tertinggal al-Quran dan pelbagai lagi dokumen penting lain di rumah sehingga dirosakkan oleh banjir.
 
“Jadi apabila dapat sumbangan ini, Alhamdulillah memang kita hargai sangat terutamanya buat ahli kariah yang al-Quran mereka rosak.

“Sumbangan ini pun secara langsung mengajak ahli qariah untuk mendekati al-Quran semula,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, meskipun terdapat beberapa kawasan di situ yang selalu dilanda banjir, namun bencana yang berlaku baru-baru ini benar-benar menjejaskan hampir seluruh penduduk di kawasan berdekatan.

Katanya, kejadian banjir kali ini menyebabkan surau tersebut turut dinaiki air setinggi lebih kurang satu meter sehingga menyebabkan kerosakan banyak perabot termasuk peralatan sistem bunyi.

“Apabila berlaku kenaikan air baru-baru ini, ini kita dah buat persediaan. Tapi rupanya air naik lebih tinggi daripada yang dijangkakan.

“Selain karpet, banyak perabot pejabat dan surau seperti kerusi yang rosak terkena air perlu dibuang,” ujarnya.

Di bawah program Cuci, Pulih, Iqra' 2.0, WUI menyediakan sebanyak 21,000 naskhah al-Quran infak bernilai RM1 juta melalui Tabung Gerakan Al-Quran bagi membantu golongan mangsa banjir.

Program Cuci Pulih Infak 1.0 mula dijalankan buat pertama kali ketika bah kuning di Kelantan pada 2014 dengan sumbangan RM1 juta al-Quran dari pihak Kumpulan Karangkraf.


Artikel asal di Sinar Harian