KOTA BHARU: Sebanyak 1,000 sekolah terpilih di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar akan dibekalkan dengan kemudahan rangkaian 5G menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya masih menunggu persetujuan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk segera melaksanakan inisiatif tersebut.

"Kami menunggu lampu hijau daripada KPM dan saya sudah berunding dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Digital Nasional Berhad (DNB) yang telah memberikan komitmen untuk menjayakan pelaksanaan rangkaian 5G di sekolah.

"Selain itu, setakat ini juga kami putuskan untuk memilih lima atau enam sekolah sebagai konsep permulaan bagi menguji kemampuan rangkaian 5G ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan harga barangan di Pasar Ketereh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata rangkaian 5G yang diwujudkan di sekolah dapat membantu bukan sahaja pihak pengurusan melalui proses pembelajaran lebih baik bahkan pengguna di kawasan sekitar turut sama akan menikmati kemudahan yang disediakan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Annuar berkata komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin tempatan boleh membantu MCMC dengan melaksanakan program yang dinamakan 'Kembara Connectivity' dalam menyampaikan maklumat capaian dan internet.

"MCMC di negeri-negeri boleh mengajar atau menerangkan kepada masyarakat untuk memuat turun aplikasi menyukat kelajuan internet selain membantu MCMC untuk mengenal pasti syarikat telco yang memberi perkhidmatan di bawah daripada minimum yang ditetapkan kerana jika tidak memenuhi syarat tersebut, tindakan boleh diambil," katanya.

-- BERNAMA