KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa melibatkan 1,040 agensi pengambilan pekerja asing berdaftar sedia ada dalam negara untuk menjadi pengantara dan mempercepatkan kemasukan pekerja asing ke negara ini.

Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr Sukumaran Nair, ia bagi memudah cara kemasukan pekerja asing selari dengan usaha kerajaan yang bersetuju pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor selain daripada sektor perladangan.

Selain itu jelasnya, langkah tersebut perlu dipertimbangkan untuk melancarkan aliran pengambilan dan menghentikan rasuah serta penglibatan orang tengah dalam agenda pengambilan pekerja asing.

"PAPSMA yang terdiri daripada empat persatuan di Malaysia menggesa Kementerian Sumber Manusia untuk menghentikan pengambilan terus daripada individu atau syarikat bagi menjaga keselamatan dan kebajikan setiap pekerja sama ada tempatan atau asing dalam sektor pekerjaan.

"Kami bekerjasama rapat dengan pengambilan pekerja dari negara asal, merupakan pengantara antara kerajaan Malaysia, pekerja dan majikan yang berkelayakan memainkan peranan penting dalam memastikan setiap pekerja dilindungi, selamat dan terjamin di bawah Akta Kerja 1955.

“Selari dengan usaha ini, PAPSMA juga turut menguatkuasakan aplikasi digital Working For Workers (WFW) yang disediakan Kementerian Sumber Manusia dalam memastikan tiada pekerja yang dihukum atau dilayan dengan buruk oleh mana-mana majikan di negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, aplikasi digital itu bermanfaat untuk memastikan tiada sebarang penganiayaan terhadap mana-mana pekerja yang mana pekerja boleh membuat aduan rasmi melalui aplikasi itu untuk tindakan segera.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju agar pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor, selain daripada sektor perladangan yang telah dipersetujui sebelum ini.

Kata Saravanan, pengambilan pekerja asing ini akan dibuka untuk sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing iaitu perladangan, pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan pekhidmatan domestik.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut menyokong inisiatif kerajaan melalui penubuhan pelbagai Kuarters Pekerja Berpusat Bersepadu (ICLQ) di bawah Piawaian Keselamatan Penginapan Pekerja Global dan menguatkuasakan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di Malaysia.

"Kami akan memastikan setiap pekerja asing yang masuk ke negara ini untuk mendapatkan pekerjaan secara sah dan meninggalkan negara secara sah selepas kontrak pekerjaan mereka tamat.

"Proses ini akan memastikan bahawa bilangan pendatang tanpa izin di negara ini akan dikurangkan sekali gus mengelakkan gejala sosial dalam sektor pekerjaan selain menjimatkan wang kerajaan melalui pembayaran levi, Perkeso dan lain-lain," katanya lagi.