KOTA BHARU: Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) berkata sejumlah 106,764 alamat protokol internet (IP) yang berdaftar di Malaysia telah membuat perkongsian  pornografi kanak-kanak sejak dari tahun 2017 sehingga Ogos 2022.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof, maklumat itu adalah hasil perkongsian yang dilaporkan PDRM.

Pada masa yang sama katanya berlaku peningkatan penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak.

"Kalau kita lihat laporan PDRM, peningkatan berlaku dan aduan-aduan yang diterima polis, kita bimbang peningkatan penggunaan internet dan pemantauan ibu bapa semakin menurun.

"Kadar penggunaan internet meningkat pada tahun 2020 berbanding 2018 sebanyak 42 peratus yang guna internet lebih 9 jam sehari," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak di sini hari ini.

Jelasnya lagi, trend perkembangan tidak sihat itu melibatkan golongan rentan memandangkan bahan pornografi kanak-kanak terdedah yang mendorong berlaku jenayah seksual ke atas golongan tu.

User Surveys 2020 yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM), mendapati berlaku peningkatan sebanyak 65 peratus dalam kalangan kanak-kanak berusia 5 hingga 17 tahun menggunakan intermet berbanding dua tahun sebelumnya.

Siti Zailah berkata, apa yang membimbangkan tinjauan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2020 mendapati tahap kesedaran kawalan ibu bapa terhadap penggunaan internet anak-anak menurun daripada 62.5 peratus  pada 2018 kepada 53.3 peratus pada 2020.

Keadaan ini disebabkan oleh kesibukan ibu bapa sehingga mengabaikan kawalan penggunaan internet ke atas anak-anak mereka.

Selain itu kajian mendapati penggunaan gajet telefon adalah paling popular iaitu 98 peratus dalam kalangan kanak-kanak.

Kajian LPPKN juga mendapati 78.3 peratus ibu bapa di Lembah Klang membenarkan anak-anak mereka memiliki gajet.

Pihak kementerian menurut Siti Zailah turut menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu Kanak-Kanak yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat bagi menangani isu berkenaan.