Seramai 109 individu yang dipercayai mempunyai kontak rapat dengan tiga kes positif COVID-19 di Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, Melaka telah menjalani ujian saringan, setakat pukul 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu keputusan ujian tersebut.

"KKM mengeluarkan surat Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah kepada kontak rapat manakala mereka yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan teruk akan dirujuk ke hospital untuk isolasi dan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Sebelum ini, KKM memaklumkan, dua daripada kes di hospital berkenaan dikesan ketika kes saringan pra pembedahan, manakala seorang lagi kes saringan bergejala.

Namun demikian, KKM menegaskan kes yang dikesan di HAT Kem Terendak itu bukan bersifat kluster dan masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Angkatan Tentera Kem Terendak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Melaka telah melakukan penilaian risiko ke atas anggota.

"Pengesanan kes secara aktif (active case detection) dan saringan kontak rapat kes-kes positif dikenal pasti," jelasnya.

Saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan katanya, masih diteruskan.