PELABUHAN KLANG: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang mengenal pasti 11 kawasan yang berisiko banjir susulan fenomena air pasang besar, pada 4 hingga 7 Nov nanti.

Kawasan-kawasan tersebut adalah Kg Tok Muda, Kg Sg Pinang di Pulau Indah, Pandamaran, Taman Selat Damai di Pelabuhan Klang, Kg Sg Serdang, Ban Sementa, Ban Sg Keramat, Kampung Perepat, Pelabuhan Utara, Telok Gong dan Pulau Ketam.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat kawasan-kawasan berisiko tinggi banjir di sini, Pemangku Pengerusi JPBD Klang Mohd Shahrizan Mohd Salleh berkata pasukan tinjauan dari pelbagai agensi akan diaktifkan dalam tempoh tersebut.

"JPBD Klang telah mengambil beberapa langkah persediaan antaranya pemberian taklimat persediaan menghadapi banjir dan tatacara pengoperasian 71 pusat pemindahan sementara (PPS) untuk memastikan mangsa banjir patuh akan prosedur operasi standard serta mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana Daerah," katanya hari ini.

"JPBD Klang telah mengeluarkan arahan kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya sentiasa menyelenggara dan membersihkan semua sistem saliran di bawah bidang kuasa pentadbiran masing-masing bagi mengelakkan berlakunya banjir kilat," katanya.

Beliau berkata sebagai contoh pihak MBSA telah membuat sewaan pam air dan membina kolam tadahan sementara bagi menghadapi bencana banjir akan datang.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, monsun timur laut atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 3 Nov dan berterusan hingga Mac 2022 dengan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh tersebut.

-- BERNAMA