KUALA SELANGOR: Sebanyak 11,000 ketua isi rumah di Selangor bakal menerima manfaat daripada inisiatif Bakul Rahmah yang akan diedarkan di kesemua kawasan Parlimen di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata buat permulaan agihan melibatkan empat kawasan Parlimen iaitu Gombak, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Langat dengan masing-masing menerima sebanyak 500 Bakul Rahmah.

"Bermula hari ini, Bakul Rahmah akan diedarkan di empat kawasan Parlimen tersebut. Kawasan Parlimen lain akan digerakkan selepas ini dengan aturan yang telah ditetapkan," katanya selepas Majlis Pelancaran dan Penyerahan Bakul Rahmah peringkat Selangor 2023 di sini hari ini.

Amirudin berkata pemilihan penerima bantuan secara sekali beri itu akan ditentukan oleh pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai senarai individu yang layak, selain turut dikenal pasti menerusi program bantuan kerajaan negeri.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata inisiatif Bakul Rahmah oleh kementeriannya akan melibatkan 18,000 daripada 37,000 isi rumah miskin tegar dari seluruh negara, yang akan menerima bakul berisi barangan keperluan asas bernilai RM100.

Inisiatif tersebut adalah satu daripada empat elemen menerusi program Payung Rahmah bertujuan membantu golongan B40 dan miskin tegar mendepani isu kos sara hidup yang tinggi.

-- BERNAMA