KUALA LUMPUR: Sebanyak 1.2 juta pertubuhan perniagaan dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di Malaysia akan diliputi dalam Banci Ekonomi 2023 yang akan dilaksanakan bermula April hingga September 2023.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, ini kali pertama Banci Ekonomi meliputi semua sektor ekonomi iaitu pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan, dan pengkuarian serta perkidmatan.

Katanya, berdasarkan maklumat awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dianggarkan pertubuhan mikro adalah sebanyak 75.2 peratus, kecil 20.5 peratus, sederhana 1.6 peratus dan besar 2.7 peratus.

Bertemakan "Data Pemangkin Ekonomi Negara", Rafizi berkata, Banci Ekonomi 2023 adalah penting untuk menilai pencapaian Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Menerusi banci ini juga, punca pertumbuhan baharu ekonomi dapat dikenal pasti dan DOSM berupaya menjana statistik ekonomi baharu yang signifikan untuk dipantau.

"Antara statistik baharu yang boleh dikeluarkan ialah statistik industri kenderaan elektrik dan dron. Malaysia seharusnya memberi tumpuan kepada industri 'biomass', hidrogen dan ammonia sebagai sumber tenaga alternatif.

"Selain itu, Banci Ekonomi 2023 juga berupaya membekalkan statistik utama ekonomi sehingga ke peringkat daerah sekali gus membantu kerajaan persekutuan dan negeri untuk membuat perancangan strategik yang berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Banci Ekonomi 2023 di ibu negara, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, penemuan daripada Banci Ekonomi 2023 juga dapat meningkatkan kapasiti statistik data raya negara serta menjadi penanda aras baharu untuk dijadikan sebagai 'baseline figure' penyusunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Jadual Input-Output dan pelbagai indeks.

Justeru itu, semua pertubuhan-pertubuhan perniagaan dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan adalah disaran untuk memberi kerjasama sepenuhnya terhadap Banci Ekonomi 2023.

"Pertubuhan-pertubuhan boleh memberi maklum balas melalui pengisian maklumat dalam talian dikenali sebagai e-BE atau secara pos menggunakan borang soal selidik.

"Pembanci-pembanci DOSM juga akan mengumpul data melalui kaedah temuduga bersemuka," ujarnya lagi.