KULIM: Seramai 13 murid bersama seorang guru wanita di sebuah sekolah rendah di Taman Berlian, di sini dikejarkan ke Hospital Kulim selepas terkena tumpahan merkuri yang pecah di makmal sekolah berkenaan, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.20 pagi.

“Seramai 11 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kulim dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba mendapati mangsa yang terkena kesan radiasi merkuri terbabit adalah 13 murid lelaki dan perempuan berusia 11 tahun serta seorang guru wanita berusia 36 tahun.

"Mereka mengalami gatal akibat terkena sisa merkuri yang pecah di makmal sekolah berkenaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Hamizul Azwan berkata, anggota bomba kemudian melakukan kerja pembersihan sisa merkuri di seluruh makmal terbabit.