IPOH: Sehingga semalam, seramai 1,352 guru sekolah rendah dan menengah di Perak masih belum divaksin iaitu mereka sama ada belum mendaftar atau sudah mendaftar tetapi masih belum mendapat giliran janji temu untuk vaksinasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata daripada keseluruhan 37,590 guru di negeri itu, seramai 36,238 guru telah menerima vaksin masing-masing.

"Bagi kumpulan guru STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia), Vokasional, T5 dan T6 pula, seramai 9,426 daripada 9,684 guru telah menerima vaksin manakala bakinya iaitu 258 guru masih belum divaksin, sama ada belum mendaftar atau masih menunggu panggilan untuk divaksin," katanya ketika menggulung perbahasan titah Diraja Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Menurut beliau kerajaan negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri akan menggandakan usaha memastikan guru-guru menerima vaksin, selain penganjuran program seperti sesi kaunseling, webinar serta bengkel pengurusan dan kepentingan vaksin bagi mencapai tujuan itu.

Dalam pada itu, Ahmad Saidi berkata kerajaan negeri juga percaya pembukaan sekolah perlu ditunda sehingga semua sekolah bersedia sepenuhnya kerana berdasarkan penilaian risiko yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menunjukkan sekolah belum bersedia untuk dibuka pada 3 Okt ini.

Menyentuh mengenai perkembangan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), Ahmad Saidi berkata hanya 17,558 murid tidak dapat mengikutinya sehingga Jun lepas berbanding seramai 101,278 murid pada Januari hingga Mac.

Penurunan drastik itu adalah atas usaha pelbagai pihak termasuk pihak sekolah, guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa mahupun pihak swasta yang secara berterusan memberikankomitmen dalam menyampaikan pendidikan terbaik kepada murid, katanya.

-- BERNAMA