136 masih tinggal di pusat pemindahan banjir

Bernama
November 24, 2014 15:20 MYT
Mangsa paling ramai adalah di Parlimen Padang Besar membabitkan 69 orang daripada 12 keluarga.
Sebanyak 136 mangsa banjir dari 27 keluarga dari beberapa bahagian Perlis masih berada di enam buah pusat pemindahan sehingga pukul 5.30 petang ini.
Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Perlis, mangsa paling ramai adalah di Parlimen Padang Besar membabitkan 69 orang daripada 12 keluarga.
Dari jumlah itu 15 mangsa dari lima keluarga tinggal di Dewan Orang Ramai (DOR) Titi Besi manakala 54 mangsa dari tujuh keluarga tinggal di homestay Felda Chuping.
Bagi Parlimen Arau, 61 mangsa dari 14 keluarga masih tinggal di tiga pusat pemindahan iaitu 26 orang (empat keluarga - di Dewan Taman Bersatu Arau; 24 orang (tujuh keluarga - di Kolej Vokesional Arau) dan 11 orang (tiga keluarga - di DOR Guar Gajah).
Bagi Parlimen Kangar hanya satu keluarga seramai enam orang dipindahkan ke Dewan Taman Sri Pilihan, Repoh, kata jurucakap itu.
Beliau berkata tujuh pusat pemindahan di Padang Besar yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup, DOR Banggol Sena, pusat khidmat Mata Ayer, Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka, DOR Kampung Gial Selatan, DOR Padang Melaka dan SK Bukit Keteri.
Di Arau tiga pusat pemindahan yang ditutup ialah DOR Kubang Gajah, DOR Padang Nyu dan Dewan Guar Sanji.
Air di sungai-sungai utama khususnya Sungai Perlis, Sungai Arau, Sungai Repoh dan sungai sekitar Chuping beransur surut lewat petang ini, katanya.
Tinjauan Bernama mendapati banyak kawasan sawah padi di utara Perlis rosak akibat banjir yang melanda sejak Sabtu lepas.
Jumlah keluasan dan nilai kerosakan sedang disiasat.
#banjir #DOR #mangsa #MKN #Perlis #pusat pemindahan #Titi Besi