SHAH ALAM: Kira-kira 136,448 warga asing di seluruh negara direkod melakukan pelbagai kesalahan jalan raya bermula 2019 hingga Mei tahun ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli.

Aedy Fadly berkata daripada jumlah itu, kesalahan tiada lesen memandu atau tamat tempoh serta tiada lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam menjadi kesalahan utama dengan 143,630 notis saman telah dikeluarkan dalam tempoh yang sama.

"Bagi Selangor pula, seramai 566 warga asing direkod melakukan kesalahan dan kira-kira 6,851 notis kesalahan telah dikeluarkan sejak 2019 hingga 23 Jun lepas," katanya dalam sidang media Op Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dijalankan bermula 8 pagi tadi di Persiaran Budiman, Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini hari ini.

Aedy Fadly berkata operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu memfokuskan kepada pemandu warga asing di kawasan Taman Sri Muda dengan 714 pelbagai jenis kenderaan diperiksa serta 132 notis saman dikeluarkan terhadap warga asing.

"Sehingga 5 petang tadi, JPJ telah menyita 22 kenderaan iaitu 19 motosikal, dua lori dan sebuah kereta atas pelbagai kesalahan. Untuk makluman semua, kita memfokuskan kawasan ini berikutan ia adalah lokasi panas bagi warga asing," katanya.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata rata-rata kenderaan yang disita dimiliki warga tempatan dan tindakan mahkamah akan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA