14 kanak-kanak dan 5 guru tadika terperangkap banjir di Johor Bahru

Muhammad Aiman Hakeem
September 25, 2022 05:07 MYT
Operasi menyelamat kesemua 19 mangsa itu digerakkan seawal jam 9.30 pagi sejurus menerima laporan. - Foto JBPM
JOHOR BAHRU: Seramai 14 kanak-kanak dan lima guru terperangkap dalam sebuah tadika berikutan banjir yang berlaku di Kampung Mohd Amin, Larkin, di sini pada Ahad.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan Dua Nazarudin Yusof berkata, operasi menyelamat kesemua 19 mangsa itu digerakkan seawal jam 9.30 pagi sejurus menerima laporan.
"Operasi penyelamatan melibatkan 14 orang budak dan lima guru perempuan yang berada di Tadika Umiku Sayang di Kampung Mohd Amin dekat Larkin.
"Pasukan keluaran Operasi (PKO) bertindak menjalankan operasi penyelamatan dan memindahkan mangsa yang terperangkap dalam banjir di kawasan yang selamat.
"Operasi ditamatkan pada jam 10.45 pagi selepas keadaan dipastikan selamat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Sementara itu di Iskandar Puteri, bomba bertindak menyelamatkan empat mangsa termasuk bayi yang terperangkap di kediaman mereka susulan banjir berlaku.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainudddin berkata sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.42 pagi, seramai 11 anggota ke lokasi kejadian.
"Banjir berlaku di Kampung Baru Muafakat Gelang Patah menjejaskan kawasan kediaman penduduk di situ.
"Anggota bomba bertindak menjalankan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa yang terperangkap," katanya.
#banjir kilat #kanak-kanak tadika #Johor Bahru #bomba Larkin