KUALA LUMPUR: Sebanyak 147 undang-undang yang dianggap lapuk akan dikaji dan diteliti, sebagai sebahagian langkah transformasi undang-undang oleh kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan langkah berkenaan.

Jelasnya lagi, transformasi undang-undang itu perlu disegerakan kerana susulan perubahan masa, undang-undang juga perlu bergerak dan berubah mengikut keadaan semasa bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Sebagai contoh, teknologi digital hari ini semakin pesat membangun. Dalam konteks ini, undang-undang yang sedia ada tidak relevan dengan ledakan teknologi digital, bahkan agak terkebelakang dengan perubahan semasa,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, di Dewan Tunku Canselor UM, sini hari ini.

Turut hadir, tetamu kenamaan yang juga Alumni Fakulti Undang-undang UM, ialah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Zarinah Anwar; Presiden Pertubuhan Alumni Rumpun Undang-undang University Malaya (PARFUM), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; serta Dekan Fakulti Undang-undang UM, Prof Madya Datuk Johan Shamsuddin Sabaruddin.

Berucap lanjut, Ismail Sabri berkata, antara akta yang akan dikaji dengan teliti ialah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, yang pada pandangan kerajaan hanya melibatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis, dan bukannya secara dalam talian.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan tokoh perundangan tersebut, yang pada pandangan beliau bukan hanya disegani dan diiktiraf di Malaysia, bahkan juga di peringkat antarabangsa.

“Untuk merealisasikan hasrat murni ini, Kerajaan bersetuju memperuntukkan RM1 juta bagi tujuan penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim,” katanya lagi.

Selain itu Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan RM500,000 masing-masing untuk Tabung Kebajikan Keluarga Malaysia, serta ASEAN Legal Information Portal atau ASEAN law Guide.