KUALA LUMPUR : Sebanyak 149 kes positif COVID-19 dikesan sejak 16 September lalu melibatkan Pulau Langkawi yang kembali dibuka di bawah gelembung pelancongan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhan seramai 40,458 individu telah disaring di pintu masuk udara dan laut di destinasi pelancongan tersebut.

“36,842 orang telah menjalani ujian RTK-Ag, dan daripada jumlah ini, sebanyak 149 kes positif COVID-19 telah dikesan dan 186 individu lagi merupakan kontak rapat kepada 149 kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas mengenai kluster Dah Teluk Nibung yang dikesan di daerah Langkawi, Dr Noor Hisham menyatakan ia melibatkan kluster tempat kerja yang membabitkan penduduk setempat.

Tambah Dr Noor Hisham, pihaknya akan sentiasa memantau kadar jangkitan di Langkawi bagi memastikan langkah pencegahan dilaksanakan secara berterusan.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy, lebih banyak kawasan gelembung pelancongan dijangka akan dibuka bermula bulan Oktober 2021.

“KKM akan terus menjalankan kerjasama dengan MOTAC dalam menjalankan penilaian risiko bagi membolehkan lebih banyak lagi tempat pelancongan dibuka dari semasa ke semasa,” katanya lagi.