LANGKAWI: Sejumlah 164 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas penunggang motosikal yang berkonvoi memasuki pulau peranginan ini melalui Dermaga Tanjung Lembung, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, secara keseluruhannya 300 motosikal diperiksa pihaknya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi itu.

"Mereka tiba melalui tiga perkhidmatan feri kenderaan dari Kuala Perlis ke Jeti Tanjung Lembung, Langkawi iaitu pada 9 pagi, diikuti jam 9 malam tadi.

"Hasil pemeriksaan, 164 saman dikeluarkan membabitkan 168 kesalahan antaranya tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi, tidak pamer L dan ubah suai kenderaan serta ekzos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shariman berkata, pada operasi bersama JPJ turut mengeluarkan 42 saman dan 55 notis atas pelbagai kesalahan.

Katanya, semua penunggang diberi peringatan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya sepanjang berada di pulau ini.

Operasi melibatkan seorang dan 12 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dan dua pegawai bersama 11 anggota JPJ Langkawi.