Seramai 17 kelasi warga asing masing-masing dikompaun RM1,000 kerana melanggar syarat kuarantin dengan membeli-belah di sebuah pasar raya besar, semalam.

Semua mereka membayar kompaun tersebut selepas siasatan kes dilakukan mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Bernama melaporkan, Jabatan Kesihatan Labuan menjalankan siasatan selepas tular di aplikasi WhatsApp foto kesemua 17 kelasi itu memakai 'gelang kuarantin' sedang membeli-belah di pasar raya tersebut.

Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari, berkata laporan mengenai tindakan mengingkar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) itu diterima beberapa minit selepas mereka dikesan membeli barangan makanan di pasar raya tersebut.

"Kami segera menjalankan siasatan dan mendapati mereka melanggar HSO dengan mengunjungi premis perniagaan dan berada di tempat awam ketika masih di bawah arahan kuarantin.

"Semalam, mereka menjalani kuarantin hari ke-12 di beberapa hotel yang diwartakan dan dijadual menjalani ujian COVID-19 kedua pada hari berikutnya," katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Ismuni menasihatkan orang ramai terutama yang menjalani kuarantin supaya tidak menanggalkan gelang tangan tag kuarantin serta mematuhi PKPB kerana pandemik COVID-19 masih belum berakhir.

-- BERNAMA