KUALA LUMPUR: Seramai 19,890 bekas pesakit COVID-19 yang keluar daripada hospital datang untuk mendapatkan rawatan susulan bagi tujuan pemantauan serta menerima rawatan bagi gejala ‘Long COVID’ sehingga November lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, berdasarkan pemantauan terhadap semua pesakit, terdapat lima gejala utama yang sering mereka hadapi.

Lima gejala itu adalah kelesuan (78.9 peratus), sesak nafas apabila melakukan aktiviti tertentu (52.9 peratus), batuk (18.1 peratus), kesukaran tidur (14.5 peratus) dan anxiety atau kebimbangan melampau (10.4 peratus).

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau dan memberi rawatan kepada pesakit ‘Long COVID’ yang mempunyai indikasi, berdasarkan Garis Panduan Pengurusan COVID-19- Post COVID-19 Management Protocol dan memastikan akses perubatan yang mencukupi kepada golongan ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang meminta kementeriannya menyatakan langkah untuk memastikan bekas pesakit positif COVID-19 yang mengalami 'Long Covid' mendapat akses perubatan yang mencukupi di seluruh negara.

Dalam pada itu, Noor Azmi berkata, kebanyakan pesakit yang dijangkiti COVID-19 akan pulih dan kembali sihat, namun sebilangan kecil akan mengalami keadaan dipanggil ‘Long COVID’.

Jelasnya, beberapa langkah telah dilaksanakan KKM bagi memastikan bekas pesakit yang mengalami gejala itu mendapat akses perubatan yang mencukupi di seluruh negara.

“Antara langkah yang diambil adalah pesakit COVID-19 yang telah mendapatkan rawatan akan diberikan temujanji sejurus discaj daripada hospital terutama bagi yang mengalami komplikasi tertentu atau yang dijangkakan mengalami gejala ‘Long COVID’.

“Mereka akan diberikan temujanji sama ada di Klinik Pakar yang bersesuaian bergantung kepada diagnosa akhir mereka.

“Selain itu, bagi pesakit yang turut mempunyai penyakit kronik yang lain seperti darah tinggi, diabetes dan sebagainya, mereka akan diminta untuk meneruskan rawatan susulan di fasiliti kesihatan seperti yang telah dijadualkan sebelum mereka dijangkiti COVID-19,” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya mereka tidak mempunyai rawatan susulan biasa, mereka akan dirujuk kepada pakar tertentu dan diberikan temujanji susulan.

“Bekas pesakit COVID-19 juga boleh mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan awam atau swasta yang berhampiran secara 'walk-in' sekiranya mempunyai sebarang gejala.

“Bagi pesakit yang mengalami gejala dan simptom yang semakin teruk semasa dalam tempoh pemantauan dan memerlukan rawatan segera pula, mereka akan dimasukan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.