KUALA LUMPUR: Sebanyak 38 keping cek berjumlah RM8.4 juta dikeluarkan menggunakan akaun bank AmIslamic milik Datuk Seri Najib Razak antara Mac 2011 dan Mei 2013.

Pengurus Kanan Bahagian Pusat Pemprosesan Cek AmBank, Badrul Hisam Mohamad ketika memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, turut mengecam tandatangan milik bekas Perdana Menteri itu yang diturunkan bagi kesemua transaksi cek tersebut.

Ketika membacakan pernyataan saksinya, Badrul Hisam, 48 tahun, berkata seramai 18 individu menerima cek tersebut termasuk bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gadam dan bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, masing-masing berjumlah RM100,000, dengan jumlah keseluruhan RM2.1 juta.

Turut menerima wang daripada cek tersebut ialah lima UMNO bahagian, satu Barisan Nasional (BN) bahagian serta enam syarikat dalam tempoh yang sama.

Cek tersebut dibayar kepada UMNO Bahagian Pekan sebanyak RM300,000, Wanita UMNO Bahagian Pekan (RM70,000),  UMNO Bahagian Machang (RM400,000), serta BN Bandar Tun Razak (RM200,000).

Selain itu, Najib turut mengeluarkan cek kepada Wanita UMNO Selangor  dan UMNO Selangor, masing-masing berjumlah RM1.9 juta dan RM2 juta.

Saksi pendakwaan ke-36 itu dalam pernyataannya turut memaklumkan, Najib memberikan cek kepada syarikat Qalif Umar Creative sebanyak RM130,000 dan Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd berjumlah RM274,750.

Tiga lagi syarikat yang turut menerima bayaran ialah Gading Emas Management Services (RM50,000), Fanisa Consultancy And Services (RM95,000) dan Two One Holidays Malaysia Sdn Bhd (RM178,000), yang keseluruhannya berjumlah RM1,428 juta.

"Saya juga mengesahkan cek ini dikeluarkan oleh AmBank Islamic berdasarkan kepada kod khas yang terdapat pada cek tersebut, iaitu kod '49' yang mana ia diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM)," katanya.

Saksi itu berkata demikian dalam keterangan terhadap Najib, 69 tahun, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Semalam, Badrul Hisham mengesahkan sejumlah 13 keping cek berjumlah RM1,289,750 atau lebih RM1.28 juta dikeluarkan dalam tempoh Mac hingga Ogos 2011.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara di Penjara Kajang selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.