Di luar perbahasan umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan mesyuarat sambil bersarapan pagi dengan beberapa pengurus dana Amerika Syarikat (AS), menggesa mereka mengabaikan bunyi 'bising' di Malaysia berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebaliknya melihat asas 'sebenar' daya tahan ekonomi dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

Beliau kemudiannya makan tengah hari dengan pemimpin perniagaan AS, mengetengahkan indeks daya saing positif Malaysia seperti yang disahkan oleh agensi-agensi penarafan utama seperti Moodys, Standard & Poors dan Fitch, serta pengumuman Bloomberg bahawa Malaysia adalah pasaran pesat membangun kelima yang menjanjikan peluang besar di dunia.

"Kerajaan akan terus kekal," kata Perdana Menteri.

"Saya tidak bergegas pulang kerana bimbang saya akan kehilangan kerja atau sesuatu seperti itu," katanya dan menambah kerajaan akan berkhidmat mengikut mandat lima tahun sebelum pilihan raya akan datang.

Semasa di New York, Najib menghadiri pelbagai mesyuarat di ibu pejabat PBB. Beliau dijadual menyampaikan ucapan pada perbahasan umum pada Khamis sebelum berlepas ke Milan untuk satu lagi lawatan kerja ke Itali.

Mengenai 1MDB, Najib berkata syarikat itu dijangka mengumumkan pengurangan jumlah hutangnya sebanyak kira-kira RM16 bilion 'dalam beberapa hari akan datang'.

Perdana Menteri berkata beliau difahamkan bahawa kerajaan memerlukan enam bulan hingga akhir tahun untuk mengurangkan hutang dan memulihkan syarikat berkenaan.

"Bank Negara juga mengumumkan bahawa tidak ada risiko sistemik berkaitan 1MDB. Kami mempunyai lebih banyak aset berbanding liabiliti," katanya.

Mengenai cadangan penjualan Edra Global Enegry Berhad, Najib berkata kini sudah ada tawaran menarik untuk cabang penjanaan tenaga 1MDB itu.

"Oleh itu saya yakin menjelang akhir tahun, kami akan dapat menunjukkan bahawa 1MDB pada asasnya merupakan perbadanan yang mampu melalui proses rasionalisasi dan mengurangkan hutangnya yang besar," katanya.

Najib menjelaskan bahawa model perniagaan 1MDB adalah berasaskan konsep "IPO pantas" dan tidak menggunakan banyak dana kerajaan.

Beliau berkata petunjuk pada masa ini baik untuk ekonomi Malaysia. Namun 'tahap bunyi bising' mungkin tidak menunjukkan kedudukan positif mengenai Malaysia.

Mengenai demonstrasi Bersih 4 dan protes susulan anti-Bersih di Kuala Lumpur baru-baru ini, Najib berkata walaupun dua rali berlaku, kestabilan politik kukuh di Malaysia.

Najib berkata demonstrasi dikawal dengan baik oleh polis tanpa menggunakan tindakan tegas.

"Kedua-duanya berakhir dengan baik," katanya.

"Berasaskan demokrasi yang matang, kami perlu membenarkan sedikit ruang perbezaan pandangan. Rakyat melakukan protes tetapi akhirnya kami berharap mereka akan berfikiran rasional.

"Pilihan raya berikut hanya pada 2018. (Sehingga itu) kami akan meneruskan agenda untuk negara," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus membuat keputusan yang sukar, malah yang boleh menjadikannya tidak popular, untuk manfaat rakyat.

Beliau berkata pelaksanaan GST merupakan langlah yang tepat dan rasionalisasi subsidi petrol merupakan sebahagian daripada langkah penyepaduan fiskal dan mengekalkan pertumbuhan.

"Ini disebabkan tiada siapa menjangkakan harga petrol akan jatuh mendadak dan menjejaskan pendapatan negara daripada dividen Petronas dan cukai pendapatan petroleum. Menerusi GST, kerajaan dapat melaksanakannya program-program (pembangunan) dan perbelanjaan operasi.

Najib berkata GST akan membolehkan negara mengumpul semula jumlah hasilnya yang susut.

Perdana Menteri berkata beliau akan mengumumkan butiran terperinci berkaitan hasil yang dikutip menerusi GST semasa membentangkan bajet negara 2016 di Parlimen pada 23 Okt.

"Dalam dunia politik yang memerlukan anda membuat keputusan yang sukar, namun keputusan yang baik untuk jangka panjang dan sederhana, rakyat akan terimanya sebagai langkah yang tepat," katanya.

Najib juga memberi jaminan kepada pelabur bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kawalan modal, dan akan terus membuat pelarasan ke atas perbelanjaan operasi bagi menjadikannya lebih berhemat dan mesra pasaran.

Namun perdana menteri berkata projek infrastruktur utama tidak akan dikurangkan, terutama MRT, dengan separuh jajaran di bawah tanah, Lebuhraya Pan Borneo, Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Penggerang dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.