KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini bagi menyerahkan writ saman berjumlah AS$3.7837 bilion kepada kakak ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang kini berada di Singapura melalui pengiklanan di akhbar The Straits Times di negara itu.

Peguam Siva Kumar Kanagasabai, yang mewakili 1MDB, berkata Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan rayuan 1MDB terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar Haslinda A. Raof pada 13 Okt lepas, yang menolak permohonan syarikat itu untuk mendapatkan perintah penyampaian ganti terhadap Low May Lin.

"Keputusan Pendaftar diketepikan dan permohonan penyampaian ganti dibenarkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Siva Kumar, alamat terakhir wanita itu yang diketahui adalah di Singapura dan percubaan untuk menyampaikan writ saman secara peribadi kepadanya telah dibuat sebanyak dua kali selepas menghantar surat temu janji, namun gagal.

"Oleh kerana penyampaian secara peribadi tidak praktikal, maka kami memohon untuk penyampaian ganti selaras dengan kuasa mahkamah di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012," kata peguam itu yang turut memaklumkan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 28 Okt ini.

Penyampaian ganti adalah untuk menyampaikan dokumen dalam litigasi awam dalam bentuk surat, iklan atau sebarang kaedah lain yang membolehkan prosiding mendapat perhatian pihak defendan oleh kerana penyampaian dokumen secara peribadi tidak dapat dilakukan.

Sementara itu, Siva Kumar berkata writ saman yang sama telah berjaya diserahkan kepada adik lelaki Jho Low, Taek Szen berdasarkan alamat terakhirnya di Hong Kong selain ia turut diserahkan kepada Jho Low; bapa beliau Tan Sri Larry Low Hock Peng dan ibunya Puan Sri Goh Gaik Ewe serta rakan sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited; 1MDB Energy Limited; 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap keenam-enam defendan itu.

Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta AS$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin dan Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.

-- BERNAMA