KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa cara pengurusan syarikat itu boleh digambarkan seumpama pengurusan "kedai kopi Cina".

Analogi itu dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata demikian semasa membantah pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed terhadap bekas ketua pegawai eksekutif Mohd Hazem Abdul Rahman, yang dianggapnya tidak relevan kepada pembelaan Najib.

"Apa sekalipun kita setuju, hal ehwal 1MDB dijalankan dan diurus bagaikan sebuah kedai kopi Cina di Jalan Petaling.

"Bagi kami, Jho Low (merujuk kepada ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho) adalah 'alter ego' serta bayangan tertuduh (Najib) dan mereka bekerjasama... kami boleh terima pemeriksaan balas yang sebegini hanya kerana ia sama sekali tidak relevan dengan kes kami," kata Sri Ram kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu Hakim Sequerah mempersoalkan bentuk soalan Wan Aizuddin terhadap Mohd Hazem yang merupakan saksi pendakwaan ke-10 mengenai prospektus yang diserahkan kepada Bursa Malaysia untuk cadangan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) bagi sebuah anak syarikat 1MDB, yakni 1MDB Energy.

Semasa menjawab soalan peguam, saksi berusia 49 tahun itu berkata dia hanya mempunyai pengetahuan asas mengenai IPO dan hanya tahu mengenai draf prospektus itu sahaja, sambil menambah dia tidak dapat mengingati tarikh sebenar prospektus itu diserahkan kepada Bursa pada tahun 2014.

Bagaimanapun Wan Aizuddin yang mewakili Najib terus menekan saksi itu berhubung pengeluaran IPO 1MDB Energy.

Hakim Sequerah: Kemana hala tuju soalan anda ini, dan apa tujuan soalan berkaitan dengan IPO ini? Saksi ini sudah pun beritahu bahawa dia tidak tahu sangat mengenai penyenaraian. Apa kaitannya dengan pembelaan anak guam anda?

Wan Aizuddin: Ia bertujuan menunjukkan bahawa terdapat salah pengurusan dalam 1MDB, yang menyebabkan anak guam saya dipersalahkan.

Peguam itu berkata sama seperti pendakwaan, pihak pembelaan juga perlu membuktikan kes mereka bahawa terdapat kecuan dan salah laku dalam hal ehwal 1MDB yang lakukan oleh Jho Low.

Hakim Sequerah kemudiannya meminta Wan Aizuddin meneruskan perbicaraan dengan bentuk soalan berikutnya, dan meminta beliau menyatakan niatnya dalam penghujahan nanti.

"Sekiranya saksi beritahu anda yang dia tidak tahu, berhenti sahaja di situ dan masukkan ia dalam penghujahan anda nanti," kata Hakim Sequerah.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA