Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mempersoal kesanggupan kesemua jemaah menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memikul tanggungjawab bersama dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut beliau, ia semakin menjadi tanda tanya apabila dua akhbar pro UMNO iaitu Utusan Malaysia dan New Straits Times hari ini memetik laporan portal berita Malaysia Today pada malam semalam.

“Artikel Malaysian Today semalam, melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa ahli Kabinetnya untuk meletak jawatan sekiranya mereka tidak menyokongnya dalam isu 1MDB .

“Adakah ini bermakna Menteri-menteri Kabinet, termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, sebelum ini menyatakan tidak bersetuju dengan skandal 1MDB, kini telah ‘menelan’ kenyataan mereka semula untuk terus menjadi anggota Kabinet?

“Adakah kesemua 35 Menteri dalam kabinet Najib bersedia untuk mengumumkan kepada rakyat yang mereka akan bertanggungjawab bersama dalam isu 1MDB dan bersedia “berenang dan lemas" bersama Najib?” soal Kit Siang dalam satu kenyataan media hari ini.

BACA : 1MDB: "Saya beritahu PM pecat semua ahli lembaga pengarah syarikat" - Muhyiddin

BACA : Dakwaan 1MDB rugi RM42 bilion diputar belit, kata Najib

BACA : Isu unit pelaburan 1MDB jadi perbalahan wakil rakyat di Twitter

Beliau berkata jawapan daripada kesemua 35 Menteri Kabinet itu adalah sangat penting dan relevan jika keseluruhan pelan pemulihan 1MDB, telah dibentangkan di Kabinet pada Jumaat lalu.

“Adakah Najib memberi laporan penuh kepada Kabinet mengenai kesemua perjanjian yang dilakukan dalam 1MDB sejak enam tahun lalu termasuk transaksi, pelaburan dan pengesahan terakhir perjanjian dalam 1MDB?”

“Adakah semua anggota Kabinet memahami bagaimana 1MDB boleh menanggung hutang sehingga RM42 billion dalam masa enam tahun ini?” soal beliau lagi dalam kenyataan yang sama.

Sebelum ini Najib meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengannya dalam usaha pemulihan 1MDB supaya meletakkan jawatan.

Memetik akhbar Utusan Malaysia pada hari ini, kenyataan Najib itu dibuat semasa mesyuarat Kabinet Jumaat lalu selepas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada semua anggota Kabinet.

BACA : 1MDB: Letak jawatan jika tidak bersama pulihkan - Najib

BACA : 1MDB: Seluruh Kabinet bertanggungjawab, bukan Najib seorang - Ku Li