1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menafikan pernah menyalurkan dana ke akaun milik perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

"Merujuk kepada laporan media yang diterbitkan awal hari ini, 1MDB ingin memperjelaskan bahawa syarikat ini tidak pernah menyalurkan dana kepada perdana menteri," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan Wall Street Journal dan Sarawak Report hari ini mendakwa, siasatan ke atas syarikat itu mendapati berbilion ringgit telah disalurkan ke dalam beberapa akaun peribadi Najib.

Menurut 1MDB, laporan yang dikeluarkan beberapa agensi media dan blog seperti Sarawak Report adalah tidak benar dan merupakan tuduhan liar terhadap syarikat serta kerajaan.

"Kami terkejut apabila dokumen seperti ini, di mana kewujudan dan kesahihannya belum dipastikan, masih diguna untuk memfitnah 1MDB," kata 1MDB.

WSJ dan Sarawak Report memetik dokumen yang kononnya diperoleh daripada siasatan ke atas 1MDB.

WSJ melaporkan, dokumen menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi milik kerajaan dan kemudiannya ke akaun peribadi perdana menteri dalam beberapa deposit berasingan.

Sarawak Report pula mendakwa, RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib daripada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan di akaun Facebook menyelar tindakan beberapa individu yang “menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi, memburukkan nama baik kerajaan dan menjatuhkan perdana menteri yang dipilih secara demokrasi.”

Menurut kenyataan itu, dakwaan terbaharu ini merupakan sabotaj politik berterusan bertujuan memperdaya pihak media dan orang ramai dengan menggunakan dokumen yang telah dipinda.

Sehubungan itu, pihak media digesa memastikan kesahihan dokumen dengan merujuk kepada pihak bertanggungjawab untuk pengesahan.