KUALA LUMPUR : Penglibatan Tan Sri Apandi Ali sebagai orang tengah dalam rundingan mengenai tawaran menyelesaikan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Low Taek Jho atau Jho Low dengan Jabatan Peguam Negara, disifatkan 'seperti' mempunyai konflik kepentingan.

Ini kerana kedudukannya sebagai Peguam Negara ketika itu memberi ruang dan peluang buatnya terlibat dengan salah laku berkaitan skandal berat itu.

Ini juga mengambil kira cubaannya untuk menggugurkan sebarang pertuduhan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawat jawatan berkenaan.

Perkara itu disebut dalam salah satu daripada tiga laporan polis yang dibuat oleh Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Shah Alam terhadap Apandi di Balai Polis Seksyen 9 Shah Alam, hari ini.

Peguam Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali pada Isnin, berkata Apandi mempunyai akses kepada semua kertas siasatan skandal membabitkan Jho Low sebelum ini.

"Isunya adalah, di mana sebenarnya Jow Lho ini, adakah Tan Sri Apandi Ali tahu dimana Jho Low.

"Yang kedua, di mana kedudukan Tan Sri Apandi Ali sebagai Peguam Negara yang mempunyai akses kepada keseluruhan kertas siasatan, 1MDB, SRC International dan skandal-skandal lain yang berkaitan.

"Kalau dia (Apandi) ada pengetahuan khusus terhadap kertas-kertas siasatan berkenaan, sebagai Peguam Negara, adakah beliau sekarang ini berada dalam posisi konflik berkepentingan kerana tiba-tiba ingin membantu Jho Low," katanya selepas membuat laporan polis itu.

BACA: 1MDB: Apandi hanya sebagai fasilitator dalam rundingan bersama Jho Low

Katanya, laporan polis berkenaan juga menyebut bahawa ketika Apandi masih menjadi Peguam Negara, beliau didakwa pernah cuba untuk membuang sebarang pertuduhan melibatkan Najib.

Jelasnya, keputusan Apandi untuk tidak menuduh Najib Razak di mahkamah adalah salah apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mendapati Najib dibuktikan bersalah sebelum Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman itu.

"Tiga laporan polis telah dibuat kita serahkan kepada pihak polis untuk buat siasatan.

"Kita tidak akan ganggu siasatan tersebut, tetapi kita ingin perkara ini disiasat kerana sehingga sekarang, rakyat yang terpaksa menanggung berbilion-bilion ringgit hutang yang kita terpaksa bayar dari segi faedah sahaja, rakyat yang kena tanggung, orang lain dapat duit, rakyat yang kena tanggung," tegas beliau lagi.

Katanya, mereka menggesa siasatan menyeluruh dibuat terhadap Apandi atas tindakan yang disifatkan sebagai pengkhianatan kepada negara berkait isu aturan perjumpaam rundingan penyelesaian kes 1MDB.

Sebelum ini, Jho Low dilaporkan bersedia untuk memulangkan wang RM1.5 bilion untuk menyelesaikan kes penyelewengan dana 1MDB.
Apandi sebelum ini menjelaskan bahawa peranannya mengatur pertemuan Jabatan Peguam Negara bersama firma guaman mewakili Jho Low, Kobre dan Kim, hanya sebagai fasililator.