Siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih sedang berjalan rancak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jangka akan melengkapkan siasatan pada bulan Mac tahun ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya sedang giat menjalankan siasatan agar ia boleh dilengkapkan secepat mungkin.

"Kita ada mesyuarat setiap minggu mengenai perkara ini dan ia merupakan perkara yang sedang rancak berjalan.

"Siasatan bila siap kita akan serahkan kepada pegawai pendakwa raya untuk membuat keputusan, kita akan sentiasa ikut arahan yang diberikan kepada kita.

"Sekiranya perlu, ramai lagi individu akan dipanggil, bukan hanya 53 orang seperti yang dilaporkan. Tapi saya tak perlu perincikan setiap satu berapa orang kena panggil sebab siasatan masih belum lengkap ketika ini, pegawai-pegawai saya pun kena marah setiap hari untuk siasat mengenai perkara ini, " katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program ronda cegah jenayah di Berjaya Times Square, pada Khamis.

Program yang Ke-6 kali diadakan itu juga melibatkan pelatih-pelatih dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur bagi mendedahkan mereka dengan pengalaman sebagai persiapan awal apabila ditugaskan di formasi masing-masing apabila tamat latihan kelak.