NEW YORK: Keputusan berkaitan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, yang didapati bersalah di Mahkamah Amerika Syarikat, disifatkan Peguam sebagai bukan sahaja kemenangan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang tetapi kemenangan buat rakyat Malaysia yang sepatutnya menerima manfaat daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Breon Peace berkata, Defendan, Roger Ng dan kroninya melihat 1MDB bukan sebagai satu entiti yang boleh membantu rakyat Malaysia, tetapi sebagai tabung simpanan untuk memperkayakan diri dengan wang yang disalah guna dari dana itu.

Jelasnya, antara 2012 dan 2013, Ng menerima lebih daripada AS$35 juta dolar dalam bentuk sogokan untuk peranannya dalam skim mencuri dan mencuci berbilion dolar daripada 1MDB.

Ia termasuk dana 1MDB yang dikumpul pada 2012 dan 2013 melalui tiga transaksi bon dan ia digunakan bagi wang untuk merasuah.

“Skim ini sangat besar skalanya - defendan dan konspirator bersamanya menggelapkan berbilion dolar daripada dana itu. Ia adalah perlakuan yang melampau - Ng memperoleh perniagaan yang menguntungkan majikannya dengan merasuah pegawai- pegawai Kerajaan di Malaysia dan di Abu Dhabi. Dan ia menujukkan kerakusan dalam ketamakannya.

“Keputusan hari ini juga adalah kemenangan bukan sahaja untuk kedaulatan undang-undang, tetapi juga untuk rakyat Malaysia yang sepatutnya dibantu oleh dana itu, yang boleh digunakan untuk membangunkan ekonomi negara mereka. Defendan dan kroninya melihat 1MDB bukan sebagai satu entiti untuk berbuat baik kepada rakyat Malaysia, tetapi sebagai tabung simpanan untuk memperkayakan diri dengan timbunan wang yang disedut daripada dana itu,” kata Peace dalam siaran langsung dari pejabat peguam di New York.

Kata Peace, Ng juga berkomplot untuk memintas kawalan perakaunan dalaman Goldman Sachs bagi memastikan syarikat itu meluluskan tiga urus niaga bon yang penting kepada skim itu.

Ng berpakat dengan yang lain untuk mencuci hasil wang berkenaan melalui sistem kewangan Amerika Syarikat dengan membeli hartanah mewah di New York City, karya seni berharga, barang kemas dan membiayai filem Hollywood "The Wolf Of Wall Street”.

BACA: 1MDB: Bekas pegawai Goldman, Roger Ng didapati bersalah di mahkamah AS

Namun tegas Peace, keputusan hari ini membawa mesej yang jelas kepada semua penjenayah kewangan di luar sana bahawa hukuman penjara yang panjang bakal menanti.

“Dengan keputusan hari ini, mesej yang kuat telah disampaikan kepada mereka yang melakukan jenayah kewangan yang didorong oleh ketamakan. Anda akan ditangkap, didakwa dan disabitkan kesalahan seperti Ng, dan bakal menghadapi hukuman penjara yang panjang,” tegas Peace menutup ucapan.

Peace juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan pendakwaannya yang bertungkus-lumus selama tujuh minggu menunjukkan komitmen menegakkan keadilan.

Ng, 49, disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan dalam kes itu, termasuk bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah AS dan bersubahat untuk melakukan pengubahan wang haram.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun.