SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seseorang yang dipaparkan dalam obituari bernama Kee Kok Thiam, 56, merupakan individu yang sama ditahan pada 3 Mei lalu berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memetik laporan Malaysiakini, individu berkenaan dikatakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low).

Dia didakwa meninggal dunia selepas tidak sampai sebulan dia kembali ke negara ini.

Sebelum ini dia berada di luar negara selama lima tahun.

Obituari menyatakan upacara pengebumian akan berlangsung di Kepong pada Rabu.

Menurut sumber SPRM, Kok Thiam disyaki telah menggelapkan wang daripada 1MDB dan SRC International melalui akaun sebuah syarikat bernama Wright Shaw Limited.

“Sebelum ini, SPRM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura dilaporkan berjaya merampas akaun Wright Shaw Limited membabitkan AS$5.2 juta (RM23 juta),” kata sumber itu.

Sementara itu, Malay Mail melaporkan Kok Thiam dipercayai meninggal dunia akibat sakit mengejut.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Kok Thiam telah dihantar pulang dari Macau kerana tinggal lebih masa visanya.

Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 3 pagi pada 3 Mei dan diarahkan untuk pergi ke ibu pejabat SPRM pada jam 10 pagi hari yang sama.

Al Jazeera pada Selasa melaporkan bahawa Kok Thiam memberitahu SPRM dia telah bertemu Low dan buruan kes 1MDB lain - termasuk Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng dan Nik Faisal Ariff Kamil di Macau.

Kok Thiam juga dilaporkan berkata, bahawa Low telah mengarahkannya 'supaya jangan kembali ke Malaysia sebagai saksi dalam kes 1MDB'.

Kok Thiam kemudiannya dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan dikenakan terhadapnya 'pada masa ini', kata laporan itu. - Sinar Harian