Kerajaan Selangor menyokong penuh gesaan Majlis Raja-Raja Melayu yang mahu kerajaan menyelesaikan segera siasatan berkaitan isu 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB).

Menteri Besarnya Mohamed Azmin Ali berkata adalah penting bagi semua pihak, termasuk pemimpin dan rakyat, mengambil serius pandangan yang telah dititahkan oleh Majlis Raja-Raja itu.

Katanya, setiap isu yang dibangkitkan nyata mencerminkan kebimbangan yang dikongsi bersama dengan rakyat.

"Kami ingin menekankan peringatan yang diberikan kepada semua pemimpin agar sentiasa menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara dalam mengangkat Perlembagaan dan undang-undang negara.

"Kami percaya peringatan ini bukan hanya tepat pada masanya, tetapi perlu dijadikan panduan setiap masa bagi mereka yang memegang tampuk kepimpinan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Majlis Raja-Raja Melayu dalam kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, menggesa kerajaan menyelesaikan siasatan isu 1MDB secepat mungkin dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terbabit.

Dalam kenyataan itu, Majlis Raja-Raja Melayu menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

Majlis Raja-Raja Melayu bimbang jika isu itu tidak ditangani secara bijak, apatah lagi jika berlarutan dan memakan masa terlalu lama, ia berpotensi menjejaskan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.

Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan juga dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan.

Sehubungan itu, Azmin berkata, tiada lagi kata-kata yang dapat menekankan kepentingan pandangan dan keprihatinan yang telah dinyatakan secara jelas dan tegas dalam kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu itu.

"Bagi pihak rakyat Selangor, kami menjunjung tinggi dan amat menghargai pandangan serta nasihat tidak ternilai yang telah diberikan." katanya.